IQNA

AS 'tewas' perang 20 tahun di Afghanistan

7:49 - September 30, 2021
Berita ID: 3100220
TEHRAN (IQNA) - Seorang jeneral kanan tentera Amerika Syarikat (AS) mengakui negaranya 'tewas' dalam perang selama 20 tahun di Afghanistan.

Pengerusi Ketua Gabungan Staf, Jeneral Mark Milley berkata, pembabitan tentera AS di Afghanistan tidak mencapai 'cita-cita' diharapkan apabila Taliban berjaya menguasai kembali negara itu bulan ini.

"Sudah jelas bagi kita perang di Afghanistan tidak berakhir dengan apa yang kita mahukan, apabila Taliban kembali berkuasa di Kabul. Perang itu adalah kegagalan strategi.

"Ia bukan kegagalan dalam 20 hari atau 20 bulan. Terdapat kesan kumulatif daripada siri keputusan strategik yang berlaku sejak awal," katanya kepada Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata AS.

Jawatankuasa terbabit mendengar laporan penarikan tentera AS dari Afghanistan dan isu pemindahan keluar tidak teratur dari ibu kota Kabul.

Presiden Jo Biden, pada April lalu memerintahkan penarikan sepenuhnya tentera AS dari Afghanistan pada 31 Ogos susulan persefahaman dicapai bekas Presiden Donald Trump dengan Taliban sebelum ini.

Milley yang juga penasihat ketenteraan tertinggi Biden berkata, perancangan melindungi AS daripada ancaman Al-Qaeda juga tidak menunjukkan keputusan yang diharapkan.

"Setiap kali tewas dalam perang dan ketika kita melaksana tugas strategik untuk melindungi AS daripada Al-Qaeda, yang terjadi selepas itu akhirnya jauh berbeza daripada apa yang kita mahukan.

"Maka setiap kali fenomena seperti itu berlaku, ada banyak faktor penyebabnya. Kita harus memikirkannya. Banyak pengajaran boleh dipelajari dalam hal ini," katanya.

Milley turut menyenaraikan sejumlah faktor penyebab kekalahan AS termasuk peluang dilepaskan untuk menangkap atau membunuh pemimpin Al-Qaeda, Osama Laden di Tora Bora sejurus serangan AS ke Afghanistan pada tahun 2001.

Beliau juga berkata, keputusan menyerang Iraq pada tahun 2003 dengan memindahkan pasukan AS dari Afghanistan dibuat 'tanpa rundingan efektif dengan Pakistan' yang menjadi tempat perlindungan Taliban serta menarik penasihat keluar dari Afghanistan beberapa tahun lalu.

Milley dan Komander Tentera AS, Jeneral Kenneth McKenzie, memberitahu sebuah jawatankuasa Senat kelmarin yang mereka secara peribadi mengesyorkan supaya kira-kira 2,500 tentera terus dikekalkan di Afghanistan.

Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Jen Psaki mengatakan Biden menerima nasihat mengenai apa yang harus dilakukan di Afghanistan.

"Pada akhirnya, terserah kepadanya (Biden) untuk membuat keputusan. Dia membuat keputusan sudah tiba masanya untuk menamatkan perang 20 tahun," katanya.

bharian.com

captcha