IQNA

Taliban lepas tembakan untuk bubar protes di Kabul

15:57 - September 07, 2021
Berita ID: 3100088
TEHRAN(IQNA)- Taliban hari ini bertindak melepaskan tembakan ke udara bagi menyuraikan orang ramai yang berkumpul bagi mengadakan demonstrasi anti-Pakistan di ibu negara itu, protes paling baharu sejak gerakan Islam itu berkuasa bulan lalu.

Taliban yang belum mengumumkan pembentukan kerajaan, bagaimanapun menimbulkan ketakutan kepada warga Afghanistan berikutan mereka bimbang pemerintahan kejam antara 1996 dan 2001 kembali berulang.

Demonstrasi kecil dan terpencil berlaku di beberapa bandar termasuk ibu negara Kabul, Herat dan Mazar-i-Sharif.

Hari ini, sekurang-kurangnya 70 orang, kebanyakannya wanita berkumpul di luar kedutaan Pakistan sambil memegang sepanduk dan melaungkan campur tangan Islamabad, yang sekian lama dituduh mempunyai hubungan rapat dengan gerakan Taliban.

Ketua perisik Pakistan, Faiz Hameed yang berada di Kabul sejak hujung minggu lalu, dilaporkan akan diberi taklimat oleh duta besar negaranya tetapi berkemungkinan tidak akan menemui pegawai Taliban.

Kakitangan AFP menyaksikan anggota Taliban melepaskan tembakan ke udara untuk menyuraikan orang ramai.

Sebelum itu, sekumpulan kecil wanita di bandar utara Mazar-i-Sharif berkumpul untuk memprotes mempertahankan hak mereka sambil mendesak supaya penyertaan mereka dibenarkan dalam kerajaan baharu.

Taliban memperoleh kemenangan dalam tempoh singkat pertengahan bulan lalu terhadap tentera bekas kerajaan Afghanistan serta pengunduran tentera Amerika Syarikat (AS), beralih memerangi pasukan yang mempertahankan Lembah Panjshir yang berbukit.

Ketika pejuang Islam itu mengakui mereka menang, ketua jurucakapnya memberi amaran supaya tiada percubaan menentang pemerintahannya.

"Sesiapa yang cuba memulakan pemberontakan akan diambil tindakan keras. Kami tidak akan membenarkan sesiapapun," kata Zabihullah Mujahid ketika sidang media di Kabul.

Ketika Taliban melakukan peralihan besar-besaran untuk mengawasi institusi utama serta bandar yang dihuni beratus-ratus ribu orang, Zabihullah menyatakan, kerajaan sementara akan diumumkan terlebih dahulu, namun mungkin ada perubahan.

Pemerintah baharu Afghanistan berjanji untuk menjadi lebih 'inklusif' berbanding pemerintahan pertama mereka, dengan kerajaan baharu akan mewakili susunan etnik negara itu walaupun wanita adalah dikecualikan.

Kebebasan wanita di Afghanistan dikongkong keras di bawah pemerintahan Taliban antara 1996 dan 2001.

Kali ini, wanita akan dibenarkan masuk universiti selagi kelas dipisahkan mengikut jantina atau sekurang-kurangnya dibahagi dengan langsir, kata pihak berkuasa pendidikan Taliban dalam satu dokumen yang dikeluarkan Ahad lalu.

Taliban juga bergelut dengan krisis kewangan dan kemanusiaan yang semakin memuncak.

bharian.com

captcha