IQNA

Membaca dan mendengar al-Quran pada waktu malam

13:23 - September 25, 2021
Berita ID: 3100187
TEHRAN (IQNA) - Tahukah kita, generasi awal Islam sangat kuat melazimi bacaan al-Quran di waktu malam. Para Sahabat juga selalu bangun di malam hari, untuk bertahajud dan membaca al-Quran di masjid, sehingga dapat didengar oleh Rasulullah S.A.W dari bilik Aisyah R.A. Bahkan Baginda sendiri mengambil manfaat dengan mendengar bacaan al-Quran daripada orang lain.

INGAT tak kita, masa kecil-kecil dulu, kita selalu habiskan masa mengaji al-Quran di waktu malam. Belajar mengaji di malam hari, di rumah ustaz dan ustazah. Salah baca, kena rotan. Takut betul dengan ustaz ustazah yang ajar mengaji waktu itu. Ummu al-Mukminin, Aisyah R.A meriwayatkan:

سَمِعَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم رَجُلاً يَقْرَأُ مِنَ اللَّيْلِ (وفي رواية للبخاري – فِي الْمَسْجِدِ) فَقَالَ ‏”‏ رَحِمَهُ اللَّهُ، لَقَدْ أَذْكَرَنِي كَذَا وَكَذَا آيَةً، كُنْتُ أَسْقَطْتُهُنَّ مِنْ سُورَةِ كَذَا وَكَذَا ‏

 “Nabi S.A.W pernah mendengar seorang lelaki membaca al-Quran (di masjid) pada waktu malam. Lalu Baginda bersabda: Semoga Allah merahmatinya. Sesungguhnya dia telah mengingatkan aku mengenai ayat sekian-sekian yang aku terlupa daripada surah sekian-sekian.” 

(Sahih al-Bukhari, no.2655 dan Sahih Muslim, no.788)

Tahukah kita, generasi awal Islam sangat kuat melazimi bacaan al-Quran di waktu malam. Para Sahabat juga selalu bangun di malam hari, untuk bertahajud dan membaca al-Quran di masjid, sehingga dapat didengar oleh Rasulullah S.A.W dari bilik Aisyah R.A. Bahkan Baginda sendiri mengambil manfaat dengan mendengar bacaan al-Quran daripada orang lain.

Inilah juga amalan biasa masyarakat kita di kampung-kampung dulu. Tiap-tiap malam hantar anak mengaji al-Quran di rumah ustaz dan ustazah. Hampir setiap malam ada rumah-rumah yang kedengaran bacaan dan pengajaran al-Quran. Namun, budaya tersebut sudah semakin berkurang ditelan zaman. Akhirnya, berlakulah gejala ‘buta al-Quran’ dalam masyarakat Islam moden. 

Kini, seiring dengan kesedaran agama yang semakin meningkat apabila masyarakat kita mula dahagakan ilmu-ilmu agama, pengajaran al-Quran secara dalam talian mendapat sambutan yang baik. Maka legasi ini kembali hidup semula di kalangan masyarakat. Semoga amalan ini dapat terus subur dalam masyarakat kita, demi melahirkan generasi yang cintakan al-Quran dan kalamullahInsya-Allah.

Kalam tuhan menyinari kehidupan

Minggu ini, berlangsungnya Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Wilayah Persekutuan pada 20 hingga 23 September yang lalu. Begitu indah dan merdu ayat-ayat suci ini diperdengarkan, dengan penuh rasa keinsafan. 

Sebenarnya, al-Quran berperanan besar dalam memenuhi aspek-aspek kehidupan manusia. Pada setiap bait ayat, pada setiap kalimah, ada hikmah yang tersembunyi.

Namun untuk merungkai rahsia di sebalik ayat suci ini, penting untuk kita bukan sekadar membaca, malah mentadabbur ayat-ayat tersebut. Tadabbur bermaksud memerhatikan makna di sebalik ayat al-Quran dan meneliti isi kandungannya. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T:

‎أَفَلَا یَتَدَبَّرُونَ ٱلۡقُرۡءَانَ أَمۡ عَلَىٰ قُلُوبٍ أَقۡفَالُهَاۤ

“Maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup (yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran)?”

(Muhammad: 24)

Al-Quran berfungsi memandu dan menyinari kehidupan kita, dengan syarat kita melaksanakan isi kandungannya, mematuhi segala perintah Allah S.W.T dan menjauhi segala larangan-Nya.

Abul A’la Maududi menyebut dalam salah satu khutbahnya yang mafhumnya berbunyi: 

“Pada hari ini umat Islam tidak dapat mengubati penyakit dalam masyarakat kerana kita hanya membaca al-Quran tanpa mengamalkannya. Ini serupa dengan perbuatan seseorang yang sakit lalu berjumpa doktor. Setelah diberikan ubat, dia pulang ke rumah lalu membaca arahan doktor pada bungkusan ubat itu tanpa memakannya. Bagaimanakah penyakitnya dapat sembuh?”

Jom, ubah cara kita mulai hari ini. Kita bukan sahaja membaca, atau bertilawah dengan al-Quran. Tetapi kita juga bertadabbur dan meneliti rahsia yang terkandung di sebalik kalam suci ini. 

YB USTAZ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – 

HARAKAHDAILY

captcha