IQNA

Mohon Agong lantik jawatan tertinggi negara tanpa campur tangan politik

15:16 - September 08, 2021
Berita ID: 3100094
TEHRAN(IQNA)- BERJASA hari ini menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong mengenai cadangan pemerkasaan tadbir urus kerajaan Malaysia.

Memorandum yang mengandungi tiga aspek penting antaranya mengetengahkan lantikan jawatan tertinggi negara berdasarkan keupayaan yang ada pada mereka, tanpa melibatkan campur tangan politik.

Jawatan berkenaan termasuk Yang Dipertua Dewan Rakyat, Yang Dipertua Dewan Negara, Peguam Negara, Ketua Hakim Negara, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Ketua Polis Negara dan Ketua Setiausaha Negara (KSN).

Selain itu, BERJASA memohon Seri Paduka Baginda melantik pemimpin berkenaan dari kalangan yang kuat pegangan agama bahkan taat setia kepada raja dan negara

Malahan individu itu harus seorang yang berwibawa, mempunyai integriti tinggi, tidak ada kes mahkamah dan rasuah serta mempunyai keupayaan untuk menjalankan tugas secara adil dan saksama.

BERJASA turut meletakkan harapan yang tinggi agar Seri Paduka Baginda dapat memisahkan bidang kuasa Peguam Negara dengan Pendakwa Raya bagi menjamin ketelusan sebenar dan mengangkat keadilan negara dalam insitusi perundangan negara.

Pada masa sama, Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim berharap kerajaan baru di bawah pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dapat mengambil perhatian berhubung isu ini.

Beliau menegaskan jawatan tertinggi itu adalah jawatan penting yang tidak perlu campur tangan politik dalam urusan kerajaan.

“Saya mengharapkan perkara ini mendapat perhatian kerana apa yang berlaku, bertukarnya kerajaan maka bertukar segala-galanya.

“Sedangkan sistem pentadbiran jawatankuasa negara berada dalam keadaan baik. Justeru tidak perlu pertukaran dan campur tangan politik,” katanya selepas menyerahkan memorandum ke Pejabat Pentadbiran Bahagian Pengurusan Diraja Istana Negara.

Ditanya sama ada elemen campur tangan politik berlaku pada ketika ini, Ustaz Haji Zamani berkata, sejak dilantik Perdana Menteri baru, ia tidak berlaku namun telah ada pada kerajaan dahulu lagi.

Justeru, pihaknya bertindak awal bagi memastikan kejadian sama tidak lagi berulang.

“Mengapa perlu campur tangan politik seolah-olah mengacau ataupun mengeruhkan keadaan yang tiada, sedangkan mereka mempunyai kepakaran dan kemahiran di dalam bidang mereka sendiri,” katanya.

Unsur utama kekukuhan dan kewibawaan kedaulatan suatu negara adalah adanya pemimpin yang adil dan memiliki keperibadian yang bertaqwa. Amanah dan niat berkhidmat untuk kesejahteraan semua elemen negara yang terdiri dari pelbagai suku ras ialah rakyat, merupakan keutamaan seorang pemimpin negara. Rakyat sebagai tumpuan pelayanan para pemimpin dan kaki tangan kerajaan haruslah berusaha sungguh-sungguh agar rakyat majoriti dan minoriti merasakan keamanan dalam menjalani kehidupan, agama dan kerjaya mereka. Tambahan lagi, semua itu harus dibuat sebagai tanggungjawab ibadah kepada Tuhan yang Maha Esa.

Mengadakan perubahan dalam suatu perlembagaan untuk memperbaikinya adalah hal yang disunnahkan oleh Allah swt, seperti dalam firmanNya:

إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ ۗ وَإِذَا أَرَادَ اللَّهُ بِقَوْمٍ سُوءًا فَلَا مَرَدَّ لَهُ ۚ وَمَا لَهُم مِّن دُونِهِ مِن وَالٍ.

"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya. (Qs, Ar-Ra'd 13:11).

ismaweb.net

tanda nama: Malaysia Politik
captcha